Daerah Hulu Selangor

Daerah Hulu Selangor mula wujud semasa permulaan pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Bharu iaitu pada 12 Mei 1883, selepas sembilan tahun campur tangan British di Selangor. Pada zaman British, Pentadbiran Daerah Hulu Selangor dikenali sebagai “Collector and Magistrate of Ulu Selangor” dan antara penjawatnya ialah Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Sweettenham menjadi Residen British di Selangor. Pada mulanya pentadbiran daerah terletak di Kuala Kubu (lama) yang kini dikenali dengan nama “Ampang Pecah”. Kemudian pusat pentadbiran dipindah ke tempat pentadbiran yang baru iaitu Kuala Kubu Bharu pada 1 September 1930 kerana kawasan bandar lama tersebut terletak di kawasan yang rendah dan sering berlaku kejadian banjir besar. Daerah Hulu Selangor merupakan salah sebuah daerah yang terletak di utara negeri Selangor.

      Dari sudut geografi, Daerah Hulu Selangor terletak di utara Lembah Klang dengan keluasan 174,047 hektar, hampir sama keluasan dengan negeri Melaka. Jumlah penduduknya lebih kurang 178,500 orang (2005) atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri Selangor dan kini semakin meningkat sejajar dengan pembangunan semasa. Daerah Hulu Selangor juga merupakan daerah yang terbesar daripada sembilan buah daerah di negeri Selangor. Daerah ini terletak bersempadan dengan negeri Perak di utara dan negeri Pahang di sebelah timur. Daerah ini pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai “The Sleeping Hollow” kerana terletak di kawasan terpinggir dari limpahan kemajuan negara. Namun kini, Daerah Hulu Selangor telah mengorak langkah dengan menggiatkan pembangunan dan kemajuan di semua bidang selaras dengan visi negeri Selangor ke arah “Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera”. Aktiviti ekonomi penduduk di daerah ini lebih tertumpu kepada bidang pertanian, perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana. Pada awalnya, daerah ini mempunyai 13 buah mukim iaitu:

 

Mukim Keluasan (Hektar) Keluasan (Ekar)
Hulu Bernam (Utara dan Selatan) 44,680 11,0405
Kalumpang 4,144 10,240
Kuala Kalumpang 3,885 9,599
Sungai Gumut 4,144 10,240
Sungai Tinggi 16,006 39,550
Kerling 17,534 43,326
Ampang Pecah 4,143 10,237
Buloh Telur 2,589 6,397
Pertak 20,383 50,366
Rasa 8,262 20,416
Batang Kali 16,265 40,191
Hulu Yam 11,111 27,456
Serendah 12,901 51,647
Jumlah 174,047 430,070

 

 

 

Sejarah Mukim Serendah

Serendah ialah sebuah bandar di daerah Hulu Selangor, Selangor, Malaysia. Di Serendah terdapat tempat yang menarik untuk dilawati, antaranya ialah Perigi Tujuh Serendah dan Air Terjun TemplerKai. Perigi Tujuh Serendah di bina pada zaman dahulu bertujuan untuk mencegah banjir yang besar dari berlaku di kawasan rendah di sini. Antara sebab mengapa serendah mendapat nama. Tempat yang rendah ini sering mengakibatkan bah atau banjir besar berlaku. Sehubungan dengan itu sebuat empangan kecil di bina oleh pihak pengusaha lombong bijih timah yang berada di bahagian rendah kawasan ini untuk mengelakkan banjir dari berlaku. Ada yang berpendapat empangan ini di bina untuk menjadi kunci air utama kepada limpahan air sungai yang mengalir dari bahagian hulu dan terus bertakung di bahagian tasik buatan bahagian atas empangan kecil yang dinamakan Perigi tujuh ini.

Mitos pula menyatakan di mana, ada ketikanya empangan ini akan dikunjungi oleh puteri-puteri kayangan yang akan turun bersiram (mandi) di kawasan Perigi tujuh ini. biasa nya apabila pelangi kelihatan jatuh di kawasan Perigi tujuh ini dari kejauhan, dipercayai pada waktu itulah puteri-puteri kayangan ini akan turun bersiram (mandi).